Thursday, May 28, 2009

Tiada Tuhan Selain Allah 2


Assalamualaikum anak2.

"Waalaikummussalam makcik Ita".

Kita mulakan kelas kita dengan membaca ummul kitab, al-Fatihah dan doa belajar. (Anak2 membaca bersama2 makcik Ita).

Alhamdulillah. Apa khabar anak2? Zubair, sihat?

"Alhamdulillah saya sihat, makcik Ita", jawab Zubair ceria.

Huda, Amin sihat?

"Saya batuk sikit", jawab Huda.

"Saya sihat", jawab Amin pula.

Sihat atau tak sihatnya kita, siapa yang izinkan ia berlaku?

"Allah!!", anak2 menjawab serentak.

Ya, betul, semua Allah yang izinkan ia berlaku. Allah itu bersifat ar-Rahman(Pemurah) dan ar-Rahim(Penyayang) yang menjaga dan memelihara kita.

"Umi, macamana Allah menjaga dan memelihara kita?", Ahmad bertanya.

Dengan sifat Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, Allah telah memberi kita bermacam-macam nikmat dan rezeki kepada kita.

"Makcik Ita, rezeki tu apa?", Azim si peminat dinosaur bertanya.

Rezeki ialah sesuatu yang Allah beri kepada kita untuk kita nikmati. Contohnya makan, minum. Maha Pemurahnya Allah lah yang memberikan juga rezeki kepada orang2 yang bukan Islam. Ada satu kisah tentang Nabi Ibrahim dengan seorang Majusi. Suatu hari, datang seorang Majusi ke rumah Nabi Ibrahim untuk meminta makanan. Nabi Ibrahim kata, dia boleh bagi makanan dengan syarat orang Majusi itu mesti beriman kepada Allah terlebih dahulu. Orang Majusi itu enggan beriman lalu pergi meninggalkan Nabi Ibrahim. Malam itu, Nabi Ibrahim bermimpi, Allah menegur Nabi Ibrahim. Allah kata dah berpuluh tahun orang Majusi itu menyembah api, tapi Allah tetap memberinya rezeki tanpa Allah letakkan syarat supaya orang itu beriman terlebih dahulu.

"Pemurahnya Allah ye, makcik Ita", Nadirah mencelah.

Bukan sahaja Maha Pemurah, Allah juga Maha Penyayang. Allah yang memelihara dan menjaga kita semua dari gangguan dan kesusahan. Itulah anak2, Tuhan kita Maha Hebat. Tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha Agung. Ingat tak kalimah syahadah yang makcik Ita tunjuk minggu lepas?

"Ingat, makcik Ita", anak2 serentak menjawab.



**********************


Aktiviti Pengkayaan :



  • Tanya anak2 nikmat dan rezeki apa yang Allah telah beri kepada mereka.

  • Minta mereka lukis dalam buku lukisan gambar rezeki (makanan, minuman, harta benda, tubuh badan, dll).

  • Minta anak2 potong gambar2 nikmat Allah (gambar orang tidur, berjalan, membaca, berlari, dll) dari keratan akhbar, majalah.

  • Tampal dalam buku lukisan.

*******************

Kelas di akhiri dengan tasbih kifarah dan surah al-Asr.


Sunday, May 24, 2009

Tiada Tuhan Selain Allah 1


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh, anak2.


"Waalaikumussalam warahmatullahiwabarakatuh, makcik Ita", serentak mereka menjawab.


Seperti biasa kita mula kelas kita dengan membaca al-Fatihah dan doa belajar. Al-Fatihah...

(Anak2 dan makcik Ita sama2 membaca al-Fatihah dan doa belajar).


Alhamdulillah, kita jumpa hari ini untuk sama2 belajar dan memahami Islam. Tidak ada agama yang Allah redha selain dari Islam. Betul tak Wafi?


"Betulll", jawab Wafi.


Dalam surah apa Allah sebut bahawa agama yang Allah redha hanyalah Islam? Khadijah tahu?


"Surah Ali-Imran:19 (Khadijah membacakan ayat tersebut beserta dengan maknanya)".


Ya, betul dalam surah Ali-Imran ayat 19. Ok, makcik Ita nak tanya, siapa yang mencipta kita dan semua yang ada di alam ini?


"Allah!!", spontan mereka menjawab beramai2.


Ya, betul, segala sesuatu yang ada di alam ini Allah yang ciptakan. Tidak mungkin ia terjadi dengan sendirinya.


"Ya, makcik Ita, Allah Maha Hebat, Allah ciptakan semuaaa", Azim cepat2 mencelah sambil tangannya sibuk mewarnakan gambar dinosaur.


Siapa buat dinosaur, Azim?


"Allah!!", pantas mulutnya menjawab tapi tangannya tetap mewarna.


Ya, Allah adalah Tuhan/Rabb kita. Tuhan yang menciptakan kita dan segala makhluknya.


"Makcik Ita, apa itu makhluk?", tanya Amar.


Siapa tahu apa itu makhluk? Azam tahu?


"Makhluk ialah semua yang Allah cipta, baik yang boleh dilihat seperti pokok, manusia, dll atau yang tidak boleh dilihat dengan mata seperti kuman, syaitan dan malaikat", yakin Azam menjawab.


"Makcik Ita, syaitan jahat, kan? Dia suka kacau manusia", Athirah menambah.


Ya, Tirah, syaitan adalah musuh kita yang nyata. Allah banyak pesan dalam al-Qur'an supaya kita tak ikut langkah2 syaitan. Kita wajib taat dan patuh kepada Allah kerana Dia yang menjadikan kita. Allah Maha Esa. Kita wajib percaya bahawa tiada Tuhan selain Allah. Faham tak anak2, apa yang makcik Ita terangkan ni?.


"Fahammm, makcik Ita!!", serentak mereka menjawab.



********************


Aktiviti Pengkayaan :



  • Tunjuk kad imbasan kalimah syahadah


  • Ajar anak2 membaca kalimah syahadah


  • Berikan pada anak2 keratan kertas yang bertulis kalimah syahadah dan minta mereka cantumkan semula menjadi kalimah syahadah yang lengkap.


  • Beri cenderahati jika anak berjaya mencantumkan dan membacanya dengan betul.


********************



Ok anak2, makcik Ita harap anak2 depan makcik Ita ni sentiasa ingat Allah dalam apa juga keadaan. Berdoa selalu semoga Allah sayang dengan kita. Baiklah anak2, kita sudahi kelas kita ini dengan tasbih kifarah dan Surah Al-Asr.(Anak2 dan makcik Ita membaca beramai2).